Sabtu, 15 Maret 2014

Dr Mahathir kata Saya hanya dengar ada agen Amerika di Pejabat Peguam Negara


OLEH MOHD FARHAN DARWIS November 11, 2013  
Tun Dr Mahathir Mohamad dakwa Pejabat Peguam Negara mempunyai dua agen perisikan Amerika Syarikat tetapi tiada bukti. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 11 November, 2013.Tun Dr Mahathir Mohamad dakwa Pejabat Peguam Negara mempunyai dua agen perisikan Amerika Syarikat tetapi tiada bukti. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 11 November, 2013.Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengatakan beliau "hanya mendengar" terdapat dua agen perisikan Amerika Syarikat di Pejabat Peguam Negara namun tidak memiliki bukti berhubung perkara itu.

"Saya dengar. Saya tiada bukti, dua agen CIA ada pejabat di Pejabat AG. Mungkin ada mungkin tidak. Saya tak tahu. AG pun belum sahkan lagi," kata Dr Mahathir merujuk kepada agen perisikan Central Intelligence Agency ketika sidang media Naza World Cup Asia Paintball (NCWA) di Putrajaya.

Bekas perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut dakwaan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim terdapat pertemuan di kediamannya untuk menjatuhkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.


 "Saya tak tahu," katanya ketika ditanya pemberita.
Minggu lalu, The Malaysian Insider melaporkan, Dr Mahathir bukan sahaja mendapatkan pandangan balas daripada bekas pegawai kanan polis dan peguam kanan berhubung perkara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan turut dibawa berbincang oleh Dr Mahathir mengenai tingkah laku Abdul Gani.

Dr Mahathir dikatakan melalui orang kepercayaannya memanggil bekas pegawai penyiasat polis Datuk Mat Zain Ibrahim ke rumahnya.
Mat Zain dibawa bertemu Dr Mahathir oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah pada 10 Ogos lalu, tiga hari selepas hari raya Aidilfitri.
Mereka bertemu Dr Mahathir di rumahnya di Country Height. Turut serta adalah bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Matthias Chang.

Dalam perbincangan di meja makan sempena hari raya itu, mereka berbincang mengenai salah laku Abdul Gani bermula daripada kes mata lebam Anwar lagi.
Turut dibincangkan adalah kekalahan Malaysia dalam kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa. Abdul Gani mewakili Malaysia dalam kes itu.
Shafee bagaimanapun dalam kenyataannya hari ini berkata pertemuan berkenaan adalah sekadar "menghormati" Dr Mahathir dan menafikan dakwaan pertemuan berkenaan adalah plot untuk menggulingkan Abdul Gani.
“Tun sudah tentu tidak terlibat dengan sampah ini (konspirasi untuk mengulingkan Gani),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mahkamah Persekutuan hari ini.

Shafee bagaimanapun enggan mengulas lanjut sehingga beliau membaca perakuan bersumpah (SD) bekas Pengarah Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang mendedahkan mengenai pertemuan itu baru-baru ini.
Bekas polis itu didakwa menyediakan SD selepas pertemuan di rumah Dr Mahathir pada 10 Ogos.

Akuan bersumpah itu kemudiannya dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Turut dihantar salinan Akuan Bersumpah itu adalah Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar dan juga dikatakan diterima oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Dr Mahathir bagaimanapun ketika ditanya berkenaan SD berkenaan berkata beliau tidak pernah melihat dokumen tersebut.
"Saya tidak melihatnya, jadi saya tidak bersedia untuk memberikan sebarang komen.
"Jika saya telah melihatnya baru saya akan berikan komen," katanya. – 11 November, 2013.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar